Tweet “kepada apa?”
Posted by akhialgebra in Uncategorized on January 19, 2012
Bismillahirrahmanirrahim.
Prinsip asas cukup mudah. “Mengajak manusia kembali mentauhidkan Allah,mentaati Rasul dan mengamalkan Islam dalam setiap tindak tanduk seharian”
Tetapi pelaksaan prinsip itu mungkin saja pelbagai.
Ada orang bemula dripada mengajak manusia menghadiri majlis-majlis ta’lim
Kemudiannya mengajak keluar dari kebiasaan hidup untuk membersihkan diri (tazkiyah nafs)
Ada orang pula bermula dari belanja makan kemudain diajak berukhuwaah sambil menanamkan keinsafan dalam diri
Terus dipupuk dan dibaja untuk membina sosok tubuh seorang pemuda yang akhirnya menjadi unit asas pembentukan ummah
Ada juga yang meyakini bahawa sistem ini perlu dihancurkan terus dan diganti dengan pokok Islam walau dengan cara radikal.
Dan ada juga yang berjuang melawan pemerintah yang zalim menerusi lensa politik.
Memupuk ciri-ciri keislaman dari kaca mata seorang pemerintah.
Jika dilihat sekali imbas, semua sama. Baik sahaja asalkan Islam ditempat tertinggi.
Cuma satu soalan perlu ditanya kepada semua yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah. “Kepada apa aku menyeru manusia?”
Jika kepada jamaah, ketahuilah bawaha jamaah kita itu bisa sahaja runtuh. Jika kepada pembaikan diri, adakah berhenti setakat itu sahaja?
Jika kepada pemerintahan Islam, adakah cukup jika ra’yatnya tidak menghadam prinsip dan juga nilai Islam itu?
Tetapi jika kepada Allah dan Rasul, insya Allah sentiasa terpandu. Bahkan dibantu.
wA
Follow me on twitter @akhialgebra
Baitul Badar [2:33 pm]
Gen Y
Posted by akhialgebra in cerita on January 1, 2012
Bismillahirrahmanirrahim.
Orang muda darahnya cepat panas,
Pantang disimbah minyak, marak menyala.
GenY sifatnya berlainan dari GenX
Zaman berbeza, sifatnya pon berbeda
Approach GenY tidak boleh sama dengan approach GenX
Silap gaya, makin parah jadinya.
Tamadun
Posted by akhialgebra in artikel on December 30, 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Sewaktu naik bas setelah usai membeli sedikit barangan keperluan di bandar Manchester, terlihat satu adegan ‘gaduh mulut’ antara pemandu bas dan sekumpulan remaja yang berpakaian moden. Tutur kata mereka yang penuh dengan carutan dan makian membuatkan saya berfikir; dalam kemajuan material yang dikecapi sekarang, adakah nilai budi bahasa dan moral sudah mengikis dalam diri generasi muda Britain?
Saya mengagumi generasi lamanya yang pada saya sangat menjaga tutur kata dan mimik muka yang penuh selesa. Perkataan dan panggilan seperti ‘love’, ‘darling’, ‘honey’ dan lain-lain perkataan yang manis didengar seringkali digunakan apabila berbicara dengan generasi mudanya. Berbeza sekali dengan generasi terkemudian ini. Bukan sahaja tingkah laku yang jelek, malah perkataan yang keluar dari mereka juga sakit didengar. Sudah pastinya bukan semua, tetapi setidaknya mewakili hampir majoriti kalaupun bukan majoriti.
Aspek rohaniah dalam pembentukan tamadun.
Mafhum tamadun mengikut tafsiran barat hanyalah merangkumi pembangunan lahiriah semata-mata seperti dalam aspek kebudayaan, penulisan, undang-undang kesenian dan pembandaran. Pembangunan lahiriah dijadikan asas kepada penentu kemajuan sesebuah masayarakat. Bahkan proses perkembangan tamadun dari sisi pandang barat hanyalah pembangunan lahiriah sahaja.
Tamadun itu sendiri berasa dari perkataan madain atau mudun atau madana yang bermaksud ketinggian budi bahasa dan pembukaan bandar. Tamadun dari mafhum kita sebagai orang Islam merangkumi aspek lahiriah dan juga rohaniah. Syed Naqib al-Attas misalnya menegaskan bahawa pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat merupakan maksud tamadun.

Budi Bahasa Budaya Kita
Dua elemen terpenting dalam menentukan pembangunan sesebuah tamadun itu ialah kemajuan material yang dikecapi oleh sesebuah masayarakat dan bagaimana pembangunan material tersebut diadun dengan nilai moral (spiritiual) dan juga ketinggian budi bahasa masayarakatnya. Kita boleh sahaja memiliki kekayaan dunia tetapi bukan mudah untuk kita memiliki kekayaan jiwa. Itu yang membezakan antara tamadun yang gemilang dan tamadun yang kecundang.
Tamadun dan budaya.
Tamadun dan budaya memiliki pertalian yang sangat rapat. Budaya sesebuah masyarakat yang tinggi dan terpuji menandakan kehidupan masayarakat yang bertamadun. Tamadun yang hebat memiliki masyarakat berbudaya tinggi, mempunyai kehalusan budi dan kesempurnaan moral dan jati diri. Semuanya diadun menjadi ramuan kukuh dalam menentukan ketamadunan sesebuah masyarakat itu.
Kedua-duanya mempunyai ciri material, spiritual dan bersifat estetik, tetapi yang membezakan antara tamadan dan budaya termasuklah pengaruh tamadun yang lebih luas dan natijahnya lebih membekas dan bertahan lama disamping melampaui batas kenegaraan dan wilayah. Prof Wan Hashim Wan Teh berpendapat bahawa yang membezakan antara keduanya ialah tahap pencapaian. Budaya sifatnya lebih umum manakala tamadun merujuk kepada pencapaian yang tinggi dari aspek tertentu dalam budaya.
Kita dan tamadun.
Bertamadunkah kita? Satu soalan yang perlu dijawab oleh setiap dari kita. Adakah ciri-ciri tamadun ada pada diri dan masayarakat kita. Saya menginsafi bahawa ita semakin menuju kehadapan dari aspek materialnya. Kita sudah ada menara yang antara yang tertinggi di dunia, sudah punya kepakaran untuk mereka kereta, bahkan sudah berjaya menghantar orang kita ke angkasa raya.
Tetapi dalam masa yang sama, kes buang bayi kitalah juaranya. Budaya hiburan terlampau mula membarah masyarakat, kes zina makin meningkat, makin jauh pengahayatan manusia terhadap agama apatah lagi solat. Adakah ini tamadun yang kita ingini? Nampak gah di pandangan mata tetapi nyata berulat. Menanti masa untuk dimakan dan rebah jika tiada yang mahu untuk mengubat.

Hiburan melampau akhirnya menjadi barah yang merosakkan asas sesebuah masayarakat
Kita dalam proses membina kembali tamadun yang hilang, dan proses ini bukan merupakan suatu proses yang sekejap. Nabi Muhammad SAW membina rijal sepanjang 23 tahun dakwah baginda sebelum rijal-rijal asuhan baginda ini membuka satu persatu kota dan akhirnya membina sebuah tamadun yang gemilang. Manhaj nubuwwah ini yang kita sedang meniti dan kita imani.
Kita dan agenda.
Membina sebuah tamadun memerlukan masayarakatnya memilki agenda yang jelas. Apakah masyarakat kini memiliki agenda yang jelas iaitu agenda untuk memikul beban Risalah. Tanpa agenda yang jelas, sudah pastinya hala tuju masayarakat ini menjadi celaru. Tidak mampu bersepakat bahkan dalam perkara yang menjadi kemaslahatan umat. Tanpa agenda yang jelas juga, dengan mudahnya kita dijadikan buah catur dan dimainkan oleh musuh agama. Kita beranggapan bahawa kita sedang menuju kemajuan tetapi hakikatnya dimainkan untuk menuju kehancuran.
Kita sudah kesuntukan masa. Jika kita melihat rumah sedang terbakar, tidakkah patut kita memberikan bantuan walaupun dengan segelar air? Umat sedang ‘terbakar’, menantikan mereka yang memegang agenda dakwah untuk menyelamatkan mereka. Persoalannya, adakah kita termasuk dalam golongan yang terbakar, membakar atau penyelamat umat. Anda sendiri pilih.
“Membangun Ummah Beragenda”
Mohd Zol Helmi Md Zuki
Timb. Pengerusi ISMA Eropah
Ketua Biro Akademik ISMA Eropah
HOPE: Kerana Harapan Itu Masih Ada
Posted by akhialgebra in artikel on December 19, 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, baru sahaja berpeluang menghadiri ‘Muslim Association of Britain (MAB) Winter Conference’ yang bertempat di Binghey Hall, Birmingham. Bertemakan ‘Creating HOPE’, program selama dua hari ini membawakan tokoh-tokoh yang berjaya membawa perubahan dan juga menghimpunkan bijak pandai dari seluruh dunia. Tujuan utama program kali ini ialah untuk memberitahu kepada umat, bahawa harapan itu sentiasa ada. Saya percaya, rata-rata peserta membawa semangat dan harapan yang sama apabila balik iaitu, membawa HARAPAN.
Islam dan Motivasi.
Menyelusuri sirah baginda Muhammad SAW, kita melihat bagaimana Allah sentiasa menaikkan semangat nabi SAW, mentarbiyah kekasihNya dalam apa jua keadaan sekalipun. Menjanjikan pembukaan kota Kontantine di saat umat Islam bersusah payah di dalam perang Ahzab, juga memberi jaminan kepada umat Islam bahawa pertolongan Allah itu akan sentiasa dekat.
“Atau apakah kamu sangka, bahawa kamu akan masuk syurga ? Sedang belum datang kepada kamu (keadaan) seperti yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu daripada kamu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kecelakaan, dan digoncang akan mereka itu, sehingga rasul dan orang yang beriman yang berserta dengannya berkata: “Bilakah akan datang pertolongan Allah? Ketahuilah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”(Surah al-Baqarah: Ayat 214)
Juga perhatikan ketika mana Abu Bakr menemani sahabat serta rasulNya berhijrah, bukankah nabi mententeramkannya disaat dia sudah mula gelisah dengan berkata “Apakah pandangan kamu Wahai Abu Bakr, kita berdua dan Allah adalah yang ketiganya?”
Bahkan mendengarkan ucapan Muhammad SAW, Abu Bakr serta merta menjadi tenang bahkan bertambah semangatnya untuk menuju Madinah. Dan lihatlah bagaimana Nabi mengharungi fasa Madinah dengan jayanya sehingga nur Islam tersebar ke seluruh jazeerah arab.
Islam memberi harapan kepada umatnya. Dalam jerih payah, pasti akan diselitkan kesenangan yang tidak disangka-sangka oleh kita. Bahkan menjadi motivasi kepada muslim secara khasnya untuk terus berusaha dan berjuang melakukan yang terbaik.
“Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” (Surah Ad-Dhuha: 4.)
Bukankah motivasi terbaik bagi kita apabila syurga itu berada di depan mata? Berusaha sehabis baik untuk menggapai redhaNya.
Islam dan Cemerlang.
Berusaha sehabis baik untuk menjadi yang terbaik. Bukan kerana habun dunia tetapi semata-mata demi redhaNya. Cemerlang menjadi asas kepada kekuatan ummah. Lihat bagaimana Abdur Rahman bin Auf yang meninggalkan hartanya di Makkah, tetapi pabila hijrahnya ke Madinah, masih berupaya menjadi usahawan berjaya. Bahkan harta yang disumbangkan olehnya kepada jalan Allah memberi kemudahan kepada penyebaran Islam ketika itu.
Dalam konteks pelajar, khususnya bergelar mahasiswa, cemerlang itu suatu yang dituntut. Bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan untuk ummah secara keseluruhannya. Harapan umat tersandar di bahu mereka yang bergelar mahasiswa Muslim. Kita percaya budaya kecemerlangan haris dipupuk dan ditanam dalam diri setiap dari kita. Campaklah ke mana sahaja, pasti akan membuahkan buah yang ranum yang boleh dinikmati oleh ummah.
Musuh sentiasa berusaha untuk maju kehadapan, dan kita tidak boleh ketinggalan sama sekali. Sunnatullah. Mereka yang berusaha pasti akan mendapat hasilnya. Jika hanya berdoa tanpa upaya, dari mana datangnya hasil untuk dituai di kemudian harinya? Islam tidak tersebar ke seluruh pelosok dunia jika para pendakwah hanya duduk di masjid dan mengaharapkan agar Islam tersebar dengan sendirinya.
Ubah paradigma, buangkan dogma yang meracun minda, dan terus mara. Kita sudah tidak mampu untuk duduk sahaja kerana keperluan ummah ini begitu mendesak. Jika bukan kita yang menggerakknya, siapa? Mahasiswa inilah yang menjadi harapan untuk menggerakkan ummah yang sedang tidur.
Islam dan Harapan.
Agen perubahan yang diharapkan mampu membawa Islam ke tempat yang sepatutnya, itulah KITA. Tanpa menoleh dan menuding jari kepada sesiapa, kita berdiri di hadapan, memikul tanggungjawab mengembalikan panji Islam di puncak dunia. Bukankah Allah itu berada di pihak kita, sekiranya perjuangan kita untuk menegakkan kalimahnya.
Harapan itu masih ada. Umat yang sedang tidur perlu dibangunkan. Singa yang dikijangkan perlu kembali mengaum menggegar rimba. Api perjuangan yang malap perlu dimarakkan. Kerana harapan itu di tangan kita.
Kita sudah tidak mampu untuk terus berdiam melihat maruah Islam kian hari kian dipijak dan dipermainkan. Cukuplah hukum Allah dipersendakan, kita tidak mahu satu persatu tali yang mengikit kita dengan Pencipta ditanggalkan. Cukup sudah penderitaan umat ini.
CREATING HOPE. Mudah-mudahan kita membawa dan menyempurnakan harapan tersebut.
“Dan sesungguhnya telah terdahulu kalimah Kami kepada hamba-hamba Kami yang diutuskan. Bahawa sesungguhnya merekalah orang yang diberi pertolongan dan bahawa sesungguhnya tentera Kamilah yang mendapat kemenangan. “(Surah al-Saaffat; Ayat 171-173)
Selamat berjaya kepada mereka yang bakal mengharungi musim peperiksaan dan selamat bercuti kepada mahasiswa di Eropah. Harapan ummah terletak dibahu kita. Samada kita menyempurnakan harapan itu atau harapan hanya tinggal harapan.
“Membagun Ummah Beragenda”
Mohd Zol Helmi Md Zuki
Timbalan Pengerusi,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Eropah
Ketua Biro Akademik ISMA Eropah
Cinta si rama-rama
Posted by akhialgebra in Uncategorized on October 30, 2011
Cinta layaknya seperti seekor rama-rama,
Semakin kalian mengejarnya,
Semakin jauh ia meninggalkan kalian.Biarkan rama-rama-mu terbang kemana saja ia suka,
Siapa tahu bila lelah dan tak sedar akan kewujudanmu,
Ia bakal mengibaskan sayap kearahmu,
Menumpang teduh dari panas, badai, hujan duniawi,
Dalam keadaan yang engkau tidak sangka.Dan mungkin saja rama-rama yang kau kejar itu,
Bukan rama-rama yang Allah peruntukkan buatmu.
Baitul Badar [6:50 pm]
.:Surat buat bakal isteriku:.
Posted by akhialgebra in cerita on October 20, 2011
Assalamualaikum.
Buat bakal isteriku,
Apa khabar dirimu saat ini, dan apa juga khabar imanmu hari ini? Adakah harimu dimulakan dengan syukur pada Tuhan kerana masih memanjangkan umurmu, masih diberi peluang untuk menatap fananya hidup ini? Apakah masih segar wudhu yang membasahi tubuhmu? Mudah-mudahan ia mampu menyegarkan kembali iman yang mungkin lesu serta membugarkan ingatanmu kepad janji kepada Yang Satu. Amanah agama ini yang berada digenggamanmu.
Bakal isteriku,
Sungguh aku tidak tahu dimanakah kamu saat dan ketika ini. Tetapi aku tahu, walau dimana sahaja kamu berada, kasih dan rahmat Tuhan pasti bersamamu sebagaimana ia mencintaiku saat dan ketika ini. Aku yakin ketika ini Dia sedang melatih kamu untuk menjadi mujahidah agar dapat bersama aku di saff perjuangan ini. Sama seperti mana Dia sedang melatihku kini. Jauh di hujung sana, aku pasti kamu pasti sedang menungguku untuk dijadikan mujahid di sisi agar kau punya rasa bangga tika memilikiku kelak.
Bakal isteriku,
Hanya kesalihan yang aku harapkan daripadamu dan moga-moga itu juga yang menjadi dambaanmu daripadaku. Kerana jika ketampanan yang kau cari, maka ketahuilah kesia-siaan yang akan kau dapatkan. Aku masih mentah dan baru dalam perjalanan ilmu pengetahuan, tetapi aku mengharapkan dengan ilmuku yang sedikit ini, aku mampu menjadi mujahid setia dalam menggapai redha Tuhan.
Wahai bakal isteriku,
Aku masih dibawah asuhan ibu dan bapaku. Tidaklah aku mengharapkan yang lain selain daripada aku menjadi tabungan keduanya diakhirat kelak. Dan aku tahu begitu juga halnya denganmu wahai bakal isteriku. Cuma aku mengharapkan kamu menjadi isteri yang salih agar cukup dapat menjadi bidadari pendampingku di syurga kelak, insya Allah.
Buat bakal isteriku,
Aku ini punya cemburu yang kuat. Tetapi jika Allah dan Rasul lebih kau rindui, maka aku redha, dan aku mengharapkan yang sama daripadamu. Meskipun kau bukanlah yang aku harapkan, tetapi ketahuilah bahawa engkaulah yang aku butuhkan.
Bakal isteriku,
Jika kelak Allah mentakdirkan kita mempunyai mujadid-mujahid comel, aku pohon agar engkau dapat bersamaku mendidiknya. Dengan didikan al-Quran untuknya mengenal Tuhan. Bantu aku dalam menanamkan bibit kecintaan kepada Allah dalam diri generasi harapan kita nanti.
Kepada bakal isteriku,
Ketahuilah bunga hanya akan mekar apabila tiba waktunya dan kumbang akan datang menghinggap tika mana bunga sedang berkembang mekar di taman. Maka aku mengharapkan sebelum tibanya masa itu, bunga akan terus dibaja, kumbang terus berterbangan bertasbih memuji kebesaran Tuhan. Aku kini sedang bersiap untuk menjadi lebih baik walaupun bukan yang terbaik, setidak-tidaknya terbaik buat dirimu kelak.
Bakal isteriku,
Inilah harapan yang mampu kuukirkan dalam sekilas kata, walau kata orang tidak semua yang dirasa mampu diluahkan dengan kata-kata. Inilah yang sedang kuhadapi. Moga kelak disaat kita bersama, itulah saat aku belajat memahami dirimu, sama halnya dengan engkau yang belajar memahami diriku
Moga kita bersabar dalam menanti takdir Tuhan. Walau dimana kini engkau berada, ketahuilah engkau akan sentiasa berada dalam munajatku pada Tuhan. Moga engkau terus bersabar dalam menanti jemputan untuk menjadi bidadariku. Insya Allah
Jumpa nanti ^_^
Baitul Badar, 11:29 pm
Cuti Musim Panas – Bhgn 1
Posted by akhialgebra in cerita on September 25, 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Post terakhir sebelum saya secara rasminya bercuti di Malaysia adalah post ‘kereta ikhwah’. Sengaja saya mendiamkan diri daripada penulisan blog ini semasa cuti. 3 bulan yang cukup bermakna untuk saya kembali bermuhasabah, meraih ukhwah, membina thiqah serta mencambah thaqafah.
Nikah dan Walimah.
Alhamdulillah. 2 orang rakan serumah, Ahmad Sufian dan Rashdan selamat melangkah ke tangga amal kedua dalam mendirikan rumah tanggga. Kedua-duanya dengan pilihan hati dan mudah-mudahan pilihan yang terbaik yang diberikan Allah. Musim kahwin. Sekurang-kurangnya 8 rakan di Manchester yang menamatkan zaman bujangnya pada cuti musim panas ini.
Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jam’ana bainakuma fi khair.
Ikhwah dan Ukhuwwah
Seakan ada suatu perasaan apabila bertemu dengan ikhwah. Walaupun tidak pernah bertemu tetapi perasaan selesa sentiasa ada. Walau berlainan latar belakang tetapi masih cepat mesra. Nikmat ukhuwwah yang Allah berikan ketika bersama ikhwah. Alhamdulillah, sempat menyertai beberapa program di tanah air.

Ketika menjadi moderator forum 'Antara Ijazah dan Risalah' semasa mukhayyam PEMBINA Pahang 2011
Mukhayyam, daurah, katibah, mabit, iftar dan riadhah semuanya kenangan yang dirasakan begitu indah sekali. Hidup dalam kalangan mereka yang soleh serta memahami manhaj dakwah ini membuatkan kita bersaa senang sekali. Mudah-mudahan semuanya tetap thabat dan teguh dalam melalui jalan yang panjang ini.
Keluarga dan Cerita
Setahun meninggalkan keluarga. Pastinya banyak cerita yang mahu dikongsikan. Baik cerita peribadi sehinggalah kepada perkembangan semasa kawasan setempat. Ayah (atuk) telah tiada, pergi meninggalkan kami hujung 2010, Pak Su berkahwin dan saya mendapat seorang Mak Su. Abang yang sudah menyuarakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga sehinggalah kepada keputusan adik untuk berhenti daripada universiti dan menerima tawaran jpa untuk meneruskan pengajian di kolej jururawat.
Penyakit Ma sudah semakin berkurangan hasil perubatan dan amalan yang berterusan. Along pula sudah berjaya diserapkan secara rasmi kedalam sistem pendidikan, bakal bergelar guru tetap seteah beberapa tahun bergelar guru kontrak. Andak pula menerima tawaran ke UTeM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektik (kuasa). Suatu bidang yang menurut saya menjanjikan masa hadapan yang cerah disebabkan kepada permintaan kepada graduan kejuruteraan elektrik yang tinggi.
Alhamdulillah
Bersambung…
Jadilah petani yang bijak
Posted by akhialgebra in artikel on September 15, 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Berbudi kepada tanah dan anda akan mendapat hasilnya. Melihat kepada sejarah bagaimana Tanah Melayu suatu ketika dahulu, kita merupakan pengeluar getah utama di dunia dan kekayaan hasil buminya seperti galian bumi menarik minat penjajah untuk datang mengaut keuntungan hasil bumi Tanah Melayu. Pendek kata siapa yang berusaha, akan mampu hidup mewah.
Pertanian suatu perniagaan. Bertani tidak lagi lagi dipandang enteng pada hari ini. Para petani moden yang menggunakan segala teknologi moden yang ada mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. Jika dahulu padi hanya dituai sekali setahun tetapi sejak menggunakan sistem penagairan dan juga pembajakan moden, padi kini boleh dituai 2 atau 3 kali setahun. Usahawan agro. Begitu gelaran yang diberi kepada mereka ini.
Jadilah petani yang bijak. Petani yang tahu keadaan tanah tapak semaiannya. Tanaman jenis apakah yang sesuai untuk ditanam dan sebagainya. Tahu apakah jenis baja yang mahu digunakan, dan sudah tergambar dalam fikirannya bagaimana mahu memasarkan hasil tanamannya kelak. Semuanya sudah disusun daripada A hinggalah kepada Z. Itu ciri-ciri petani yang bijak.
Daie dan petani.
Ada sesuatu para daie perlu belajar daripada petani. Memahami akan tabiat petani yang bijak dan menggunapakai akan ia untuk ‘menuai’ rijal. Rijal yang akan memberi saham kepada agama ini perlu dijaga dan ‘diusahakan’ sebagaimana petani mahu melihat hasil tanamannya memberi keuntungan kepada dirinya.

Petani menggunakan segala titik peluh yang ada untuk berbakti kepada tanah. Adakah daie juga begitu? Menggunakan setiap tenaga yang ada untuk ummah.
Jadilah daie yang bijak. Tahu suasana dan keadaan sekeliling mad’unya. Faham tabiat dan juga perlakuan mereka dan cuba untuk menyelami jiwa mereka. Kerana akhirnya sentuhan hati itu sendiri yang mampu mengekalkan rijal dalam arena dakwah ini.
Sebagaimana petani menggunakan baja yang betul untuk tanamannya, begitu jugalah daie dalam memberi input kepada mad’unya kerana jika salah input, boleh jadi rijal yang mahu ‘ditanam’ boleh rosak jadinya.
Sebagaimana petani menjaga tanamannya daripada serangan perosak, begitu jugalah daie sepatutnya menjaga mad’unya dari segala anasir luar yang mampu merosakkan mereka. Perlu memahamkan mereka akan pentingnya menghindari anasir-anasir perosak ini.
Sebagaimana petani menggunakan alatan moden demi meningkatkan hasil tuaiannya, begitu jgalah daie perlu peka kepada perkembangan sekeliling untuk ‘melajukan’ anak didiknya itu. Gunakan segala ruang yang ada. Jadilah daie yang moden. Yang tidak hanya terikat kepada duduk bersila di dalam bulatan dan membincangkan masalah umat tanpa kita sendiri terjun kedalam kehidupan ummat dan merasainya sendiri. Sejauh mana jahiliyyah laju dan pandai menggunakan teknologi dan merosakkan masyarakat, daie perlu lebih laju lagi untuk meneutralkannya kembali.
Jadilah ‘petani yang bijak’ untuk ‘menuai’ hasilnya.
Dia yang menurunkan dari langit, air; dan dengannya Kami mengeluarkan tunas segala tumbuh-tumbuhan, dan kemudian Kami mengeluarkan daun-daun hijau, dan mengeluarkan daripadanya biji-bijian yang bersusun rapat, dan keluar daripada pohon palma, daripada seludangnya, kurma-kurma bertandan lebat yang boleh dicapai, dan kebun-kebun (jannah) anggur, dan zaitun, dan delima, yang serupa sesamanya dan tidak mutasyabihat (serupa) sesamanya. Perhatikanlah pada buah-buahnya apabila mereka berbuah, dan masak. Sesungguhnya pada semua ini adalah ayat-ayat bagi kaum yang mempercayai (6:99)
Changi airport
4:27 pm
Kereta ikhwah
Posted by akhialgebra in artikel on June 21, 2011
Bismillahirrahmanirrahim.
Kereta, kalau tak dijaga dan diservis selalu memang akan cepat rosak. Walaupun saya masih lagi belum mempunyai kereta dan hanya mempunyai sebuah basikal yang baru dibeli beberapa bulan lalu, tetapi lumrah ciptaan manusia, kalau tak diservis dan dijaga elok, pasti akan cepat rosak.
Kereta, kalau nak berjalan jauh, minyaknya perlu penuh. Tidak padan RM 10 minyak kalau kita merancang untuk berjalan jauh. Besar kemungkinan destinasi tidak dapat dituju, malah sangkut ditengah jalan. Bahkan mungkin sahaja kereta tersebut rosak ditengah jalan. Salah siapa kalau bukan kita.
Kereta, kalau kita harapkan dan paksa untuk berjalan jauh, perlu disiapkan serapi mungkin. Minyak perlu penuh, servis mesti tip top. Kalau tidak, jangan salahkan kereta jika ia meragam di tengah jalan.
………………..
Jalan dakwah kita panjang. Kalau ikhwah tak diisi ‘minyak’ yang penuh, ‘servis’ tidak sekerap yang sepatutnya, jangan salahkan ikhwah semata-mata kalau mereka ‘meragam’ ditengah jalan.
Masu’liyah ataupun tanggungjawab yang diberikan perlu hampir setara kalaupun tidak seiring dengan dos tarbiyah yang diberi. Kita bagi ikhwah tugas, tapi ‘minyak kereta’ ikhwah kita tak isi. Kalau isi pon, bukan pada jumlah yang sepatutnya ikhwah terima.
………………..
Kereta tetap milik tuan. Kadang kala tanpa kita sedar, kita tetap tekan minyak dengan kuat walaupun minyak tak ada. Kereta dengan fungsi yang telah ditetapkan oleh kilang perlu mengikut walaupun tindakan itu bakal merosakkan sistem yang ada.
Makanya, jangan kita paksa kereta berjalan jauh kalau kita sendiri belum yakin dengan persiapan kereta kita. Kelak bakal merosakkan kereta dan dalam masa yang sama, kita turut terjejas.
………………
Ikhwah telah diajar taat kepada perintah (konsep istisyarah masih diguna pakai). Kadang kala ikhwah tahu, berat tugas yang dia terima, tapi apabila mengenangkan itu masu’liyah yang perlu dipikul, maka ikwah rela. Logam yang ada dalam diri tetap terserlah.

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”.
Makanya, ikhwah kalau nak pergi jauh, perlu disiapkan serapi mungkin. Jangan usrahnya jarang sekali, tetapi masu’liyahnya besar sekali. Berpadanlah.
Bukan kritikan kepada sesiapa, cuma peringatan buat diri dan kita semata-mata. Dos ubat perlu setara dengan sakit yang diderita, jika terlebih atau terkurang, makin parah jadinya.
[2.55 am]







Jejak Pengunjung